arena

Djokovic julang gelaran Rome kelima

Oleh AFP

Rome: Novak Djokovic menebus kembali kesilapannya di Terbuka Amerika Syarikat dua minggu lalu dengan menjuarai Piala Itali buat kali kelima, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu menjulang gelaran Masters ke-36, lebih satu mengatasi musuh ketat Rafael Nadal selepas menewaskan Diego Schwartzman 7-5, 6-3 dalam aksi final di Foro Italico, Rome.

"Beralih kepada Paris, saya tak boleh minta kejohanan lebih baik di sini. Satu lagi gelaran besar dan saya sangat puas hati,'' kata Djokovic.

"Saya tak rasa saya beraksi pada tahap terbaik sepanjang minggu tetapi saya rasa saya temuinya ketika saya perlukan pada saat genting.''

Djokovic melanjutkan rekod kemenangan kepada 31 dalam 32 perlawanan tahun ini dengan hanya kekalahan tunggalnya di Terbuka AS selepas disingkir akibat memukul bola tanpa sengaja ke badan pengadil garisan.

Schwartzman mengejutkan juara sembilan kali kejohanan, Rafael Nadal pada suku akhir tetapi dia kehabisan tenaga selepas beraksi tiga jam pada separuh akhir semalam.

Walaupun bermula baik dengan dua 'break' untuk mendahului 3-0, Schwartzman gagal mengekalkan momentum ketika menentang pemenang 17 kali Grand Slam itu yang menang kali kelima ke atas pemain Argentina itu.

Djokovic pula meraih kejuaraan kelima dalam 10 aksi final di Rome tetapi yang pertama sejak 2015 selepas tiga kali muncul naib juara termasuk tahun lalu selepas ditewaskan Nadal.

"Ia minggu yang baik walaupun saya gagal pamer aksi terbaik. Saya puas hati,'' katanya.

Sementara itu, pilihan utama wanita, Simona Halep menjulang trofi pertamanya di Rome selepas juara bertahan, Karolina Pliskova menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 6-0, 2-1 pada final.

Simona pemain nombor dunia bertanding pada final ketiganya di Rome WTA selepas muncul naib juara pada 2017 dan 2018.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 9:07am
d