arena

Pahang tuntut tindakan segera FAM

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Isu membabitkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dilihat tiada penghujungnya apabila Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jangan hanya berdiam diri dengan segera mengambil tindakan terhadap individu terbabit berdasarkan bukti yang ada.

Malah, Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf menerusi kenyataan media juga mendakwa bahawa pemain berasal dari Gambia itu membuat tuduhan palsu, rekaan dan hanya mahu manipulasi untuk tujuan tertentu sekali gus memberi pandangan negatif kepada persatuan terbabit.

Beliau berkata, PBNP mempunyai bukti yang kukuh serta dokumen sah sekali gus badan induk bola sepak negeri terbabit berada di pihak yang benar.

Katanya, kegagalan FAM untuk menyelesaikan kes berkenaan dengan kadar segera menyebabkan PBNP mengambil tindakan membawa kes berkenaan ke badan timbang tara, agensi kerajaan atau Pesuruhjaya Sukan Malaysia bagi menyelesaikan isu itu.

''PBNP sudah membuat aduan kepada FAM namun tiada kecenderungan dan tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu berkenaan.

''FAM hanya mahu menunggu keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terlebih dahulu dan ini tidak boleh diterima oleh PBNP kerana tidak berasas.

''Pemain ini sebagaimana diketahui adalah pemain tempatan dan kes ini membabitkan kawalan dan bidang kuasa FAM.

''Sebagaimana badan induk bola sepak negara yang menaungi ahli gabungan seperti PBNP, FAM selayaknya membantu bagi penyelesaian kemelut ini supaya keadilan dapat ditegakkan,'' katanya.

Sebelum itu, Sumareh mencetus kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan serta tidak menjalani latihan pada awal Ogos.

Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana dikatakan tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status FAM.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam ketika ditemui Arena Metro memaklumkan pihaknya bukan mengambil sikap berdiam diri namun mahu menunggu keputusan daripada Fifa sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, Sumareh terlebih dahulu membuat aduan kepada badan induk bola sepak antarabangsa berkenaan dan jika FAM turut sama mengadili isu terbabit dibimbangi akan berlaku perbezaan keputusan. ''Bagaimana dua mahkamah berbeza mengadili seorang pemain? Perkara terbabit akan menyebabkan adanya keputusan berbeza seterusnya mencetuskan kekeliruan atau timbul masalah lain.

''Lebih baik menunggu keputusan daripada Fifa dahulu dan jika badan induk bola sepak antarabangsa memutuskan FAM perlu menyelesaikan isu terbabit dan kita akan segera membincangkan perkara berkenaan.

''Pada masa ini, FAM bukan mengambil sikap lepas tangan namun menunggu apa keputusan seterusnya oleh Fifa sekali gus tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan,'' katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 2:23pm
d