arena

Cabar TFC lakar tiga kemenangan - Shahrizal

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengurus pasukan Terengganu FC (TFC), Ahmad Shahrizal Yahya mencabar pemainnya merakam kemenangan dalam baki tiga perlawanan lagi selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini.

Menurut Ahmad Shahrizal, kemenangan dalam tiga aksi terakhir itu nanti penting buat pasukan untuk menghuni di kelompok terbaik liga selepas impian berada di kedudukan kedua bagaikan sudah berkubur.

"Kita tiada pilihan lain kecuali perlu mengutip mata penuh dalam baki tiga perlawanan itu bagi memperbaiki kedudukan liga selepas hasrat untuk mengakhiri cabaran di tangga kedua semakin sukar.

"Kemenangan juga amat penting sebagai pemangkin semangat dan persediaan buat pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia," kata Shahrizal.

Pada aksi Sabtu lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain itu tewas mengejut kepada pendatang baharu Liga Super, UiTM FC 2-1 sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat setia skuad Penyu itu.

Ketika ditanya adakah pemain gagal beraksi dengan baik ketika berkunjung ke Stadium UiTM Shah Alam itu, Shahrizal menafikannya.

Sebaliknya beliau menjelaskan kemungkinan taktikal dan strategi yang direncanakan sudah dapat dibaca pasukan lawan menyebabkan skuad TFC tersungkur kepada pasukan The Lions Troop itu.

Bagaimanapun Shahrizal berkata, beliau berkeyakinan pemain akan bangkit dalam baki tiga perlawanan lagi untuk mengintai kedudukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super.

Selain itu beliau percaya barisan jurulatih sudah pasti akan merencana taktikal dan strategi lebih berkesan terutama menerima kunjungan pasukan tercorot liga, PDRM pada Jumaat ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

"Kami tidak mahu menyalahkan pemain ketika pertemuan dengan UiTM tempoh hari, mereka sudah memperagakan aksi yang baik sepanjang 90 minit dengan beberapa percubaan tepat selain beraksi secara berpasukan.

"Namun taktikal kita mungkin sudah dapat dibaca pasukan lawan selain tiada rezeki untuk menang adalah antara faktor kita tewas," katanya yang juga tidak menyalahkan barisan jurulatih.

TFC kini menghuni di tangga keenam liga dengan mengutip 10 mata hasil lapan perlawanan dengan merekod tiga kemenangan, sekali seri dan empat kali tewas.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 6:41pm
d