arena

Arturo Vidal sertai Inter Milan

Oleh AFP

Madrid: Inter Milan berjaya melengkapkan perjanjian menandatangani Arturo Vidal dari Barcelona dengan nilai 1 juta Euro (RM4.85 juta) umum kelab itu hari ini.

"Barcelona dan Inter Milan sudah mencapai persetujuan bagi urusan perpindahan membabitkan Arturo Vidal. Kelab Itali itu akan membayar FC Barcelona 1 juta Euro (RM4.85 juta)." menurut Barca dalam satu kenyataan.

Selepas menyertai gergasi Sepanyol itu pada 2018, Vidal beraksi dalam 96 perlawanan buat kelab Catalan dan berjaya menjaringkan 11 gol selain membantu memenangi kejuaraan La Liga ketika tahun pertamanya di Sepanyol.

Namun pemain berusia 33 tahun itu dilihat tidak diperlukan oleh kelab berkenaan selepas aksi yang mengecewakan pada musim lalu.

Malah presiden Barca, Josep Maria Bartomeu mengakui beberapa pemain harus meninggalkan kelab berkenaan sebelum pemain baharu di bawa masuk.

Vidal akan bergabung semula dengan Antonio Conte di Inter, jurulatih yang menguruskan Juventus ketika dia beraksi di kelab Itali itu antara 2011 dan 2015, sebelum menyertai Bayern Munich dan Barca.

Inter menyifatkan pemain tengah Chile itu sebagai 'pejuang'. "Bermula hari ini, Vidal akan berada di barisan tengah menyerang buat Nerazzurri dengan objektif yang sama seperti sebelumnya : berjuang, memberikan segalanya dan mencatat kemenangan," menurut kenyataan kelab itu.

Disiarkan pada: September 22, 2020 @ 8:39pm
d