arena

Moyes, dua pemain positif Covid-19

Oleh AFP

London: Pengurus West Ham, David Moyes dan dua pemain kelab itu, Issa Diop serta Josh Cullen didapati positif Covid-19 sebelum bermulanya perlawanan Piala Liga bertemu Hull yang menyaksikan Hammers mencatat kemenangan 5-1.

Pasukan perubatan West Ham dimaklumkan keputusan ujian itu ketika Moyes dan barisan pemainnya berada di Stadium London untuk melakukan persediaan bagi perlawanan pusingan ketiga.

Diop dan Cullen tersenarai di dalam perlawanan itu dan kedua-duanya kemudian digugurkan daripada senarai asal.

"Pengurus dan kedua-dua pemain kemudian meninggalkan stadium dan kembali ke rumah.

"Ketiga-tiga mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom akan mengikuti protokol Kesihatan Awam England dan Liga perdana," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Perlawanan diteruskan seperti dirancang dengan penolong pengurus West Ham, Alan Irvine mengambil alih tugas membimbing pasukan.

Sebastien Haller dan Andriy Yarmolenko masing-masing menjaringkan dua gol dan Robert Snodgrass turut meledak satu gol untuk West Ham.

Difahamkan pasukan perubatan West Ham dan Hull bersetuju untuk perlawanan itu diteruskan selepas mengadakan perbincangan bersama bahagian perubatan EFL.

"Kami berpuas hati dengan West Ham yang mengikuti segala peraturan serta protokol sebelum menerima keputusan positif Covid-19. Selepas mengadakan perbincangan bersama EFL, kami bersetuju agar perlawanan diteruskan," kata Hull dalam satu kenyataan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 7:25am
    d