arena

Hamilton wajar sertai Red Bull

Oleh Agensi

London: Bekas bos pasukan Formula Satu (F1), Eddie Jordan berpendapat Lewis Hamilton wajar menamatkan kontrak bersama Mercedes dan menyertai Max Verstappen di Red Bull.

Dengan kontraknya bakal berakhir hujung tahun ini, juara dunia enam kali itu dijangka menyambung kontrak bersama Mercedes pada 2021 dan tahun seterusnya.

Bagaimanapun Jordan berasakan perpindahan ke Red Bull pasti lebih menyeronokkan untuk Hamilton serta sukan itu dan beliau berasakan Verstappen mampu menewaskan Hamilton di jentera yang sama.

"Saya percaya Lewis sepatutnya ke Red Bull dan bukannya Ferrari," kata Jordan dalam temuramah bersama Ziggo Sport.

"Ia adalah gabungan yang sempurna kerana pemandu muda terbaik di F1 ketika ini adalah Max Verstappen dan ia tidak boleh dipersoal lagi.

"Gaya, kepantasan dan kebijaksanaannya mengawal jentera di litar sangat baik. Dia juga mempunyai sikap angkuh. Itu adalah antara faktor pemenang Grand Prix dan juara dunia.

"Dia seorang yang sangat berbakat. Saya percaya jika dia digandingkan bersama Hamilton, Verstappen mampu menewaskan Hamilton," katanya.

Ketika Jordan percaya Hamilton setaraf dengan legenda seperti Michael Schumacher, Ayrton Senna dan Alain Prost, beliau juga yakin Verstappen mempunyai keupayaan untuk menyinar jika memperoleh jentera yang bagus.

"Saya perlu nyatakan Lewis setaraf Prost, Senna dan Schumacher. Mungkin dia juga mampu mengatasi kesemua legenda itu sehinggalah Max bakal mencabar rekodnya," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 11:43am
d