arena

Ishak belum mahu mengalah

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Walaupun boleh diibaratkan sebagai nyawa-nyawa ikan, pasukan PDRM tetap mengintai peluang untuk terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Selain itu jurulatihnya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berkata, beliau juga mahu membawa pasukannya layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini walaupun sedar sehingga kini masih belum mengutip sebarang mata, malah berhutang satu mata.

Justeru bekas pertahanan Terengganu itu mahu pastikan anak buahnya dapat melakukan kejutan apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bertemu Terengganu FC (TFC) Jumaat ini.

"Atas kertas skuad kita tampak berliku untuk kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan, begitu juga untuk menempatkan diri dalam kelompok sebelas pasukan yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia.

"Tapi peluang kita belum tertutup rapat lagi kerana masih mempunyai tiga perlawanan termasuk bertemu pasukan TFC, diikuti menentang Selangor dan terakhir PJ City.

"Jadi saya ingatkan pemain agar mampu memperagakan aksi terbaik untuk melakar kejutan ke atas TFC sebagai pemangkin semangat sebelum menamatkan baki dua perlawanan lagi.

"Tapi pemain juga harus berwaspada dengan ancaman skuad TFC kerana sudah pasti pasukan itu turun dengan misi kemenangan selepas kecundang pada tiga aksi terdahulu," kata Ishak.

Pendatang baharu Liga Super itu kini menghuni tangga tercorot liga dengan negatif satu mata selepas memulakan kempen liga dengan negatif tiga mata berikutan dipotong tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana masalah tunggakan gaji musim lalu.

Sekiranya skuad The Cop itu berjaya merakam tiga kemenangan, peluang buat pasukan itu layak ke saingan piala berprestij itu dan kekal dalam Liga Super masih ada tapi juga bergantung kepada keputusan pasukan lain.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 3:04pm
d