arena

Police Tero tunggu ketibaan Sumareh

Oleh BERNAMA

Bangkok: Pasukan liga utama Thailand, Police Tero FC masih menanti ketibaan pemain baharunya, Mohamadou Sumareh, pemain naturalisasi pertama Malaysia.

Pemain sayap pasukan Pahang berusia 26 tahun itu melengkapkan perpindahannya untuk menyertai pasukan di tangga keempat Liga 1 Thailand, pada 7 September lepas.

Bagaimanapun Pengurus Police Tero FC, Tanya Vongnark berkata, ketibaan Sumareh ke Thailand tertangguh disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, pemain kelahiran Gambia itu kini menunggu untuk mendapatkan Permit Masuk daripada Kedutaan Besar Thailand di Malaysia serta Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) untuk memasuki Thailand.

"Kami telah menyiapkan semua dokumen yang diperlukan sejak 6 September lepas bagi membolehkan Sumareh bermain dengan kami musim ini. Kami mahu dia datang ke sini secepat mungkin.

"Sumareh mempunyai keinginan untuk bermain dalam liga Thailand. Dia mahu membuktikan kebolehannya. Ini adalah cabaran baharu (untuk Sumareh). Ia pastinya sesuatu yang menarik untuknya," katanya.

Sumareh bakal bergandingan dengan rakan skuad Harimau Malaya, Dominic Tan yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Police Tero FC pada Julai tahun lalu.

Menurut Tanya, Sumareh perlu terlebih dahulu menjalani kuarantin wajib di hotel yang ditetapkan sejurus tiba.

Mengulas mengenai perselisihan antara Sumareh dan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tanya berkata Polis Tero FC mematuhi peraturan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Persatuan Antarabangsa (Fifa).

"Fifa memberikannya (Sumareh) Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC). Jadi, perpindahannya adalah rasmi. Pertikaian antara Sumareh dan bekas kelab bola sepaknya tidak ada kaitan dengan Police Tero FC. Kami tidak akan masuk campur," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 7:24pm
    d