arena

Wolves ikat pertahanan Barca, Nelson Semedo

Oleh AFP

London: Wolves mengumumkan berjaya menandatangani pemain pertahanan kanan Portugal, Nelson Semedo dari Barcelona hari ini dengan yuran yang dilaporkan mampu meningkat sehingga £37 juta (RM195.9 juta).

Kelab Liga Perdana itu mengumumkan pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak tiga tahun di Molineux, dengan pilihan untuk melanjutkan sehingga 2025.

Pemain kebangsaan Portugal, yang melakukan 124 penampilan buat Barcelona, menyertai skuad kendalian Nuno Espirito Santo selepas tiga musim di Nou Camp.

"Saya memilih Wolves kerana mereka pasukan yang sangat bagus dan mempunyai permainan bola sepak yang baik.

"Tahun lalu mereka mempunyai musim yang sangat bagus dan menjadi pasukan yang baik di England begitu juga di Eropah. Saya harap tahun ini kami dapat melakukan perkara yang lebih baik," katanya menerusi laman sesawang kelab itu.

Disiarkan pada: September 23, 2020 @ 9:45pm
d