arena

Simona pilihan juara di Paris

Oleh AFP

Paris: Bekas juara, Simona Halep tiba di Terbuka Perancis sebagai pemain yang harus ditumpaskan dalam undian wanita apabila penyandang juara, Ashleigh Barty dan juara terbaru Terbuka Amerika Syarikat (AS), Naomi Osaka tidak beraksi.

Serena Williams juga tidak boleh diketepikan selepas pemain itu cuba untuk memburu kejuaraan Grand Slam kali ke-24 walaupun Roland Garros adalah trofi yang kurang diraihnya dengan hanya bersandarkan tiga kejuaraan pada 2002, 2013 dan 2015.

Garbine Muguruza, yang mengalahkan Serena pada perlawanan akhir 2016, seorang lagi pencabar, manakala bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka berharap momentum mara ke final Terbuka AS dapat diteruskan di gelanggang tanah liat.

Naib juara tahun lalu, Marketa Vondrousova sekali lagi akan cuba beraksi baik di Paris selepas mendapat semula sentuhan dalam saingan Terbuka Itali minggu lalu, apabila berjaya mara ke separuh akhir sebelum tumpas kepada rakan senegara, Karolina Pliskova.

Pemain ranking keempat dunia dari Republik Czech itu terpaksa menarik diri dalam aksi final selepas set pertama dimenangi Simona, yang meneruskan 14 kemenangan berturut-turut dan merangkul kejuaraan kedua sejak saingan tenis bersambung semula.

Karolina yang diletakkan sebagai pilihan kedua di Paris berkata, Simona sudah pastinya akan menjadi pilihan utama untuk muncul juara.

"Saya rasa dia akan pilihan utama untuk muncul juara bagi saingan wanita kerana berdasarkan corak permainannya. Dia sudah muncul juara di gelanggang tanah liat Prague. Dia akan muncul juara di kejohanan ini.

"Saya rasa dia akan turun dengan penuh yakin. Sudah pasti dia akan menjadi ancaman buat kami.

"Saya tahu cuaca tidak berapa baik di Paris, jadi saya rasa untuk beraksi dengan lebih agresif dengannya adalah sangat sukar," kata Karolina.

Simona, yang muncul juara di Dubai sebelum saingan tenis ditangguhkan selama lima bulan, menggunakan kesempatan untuk mempersiapkan diri dari aspek kecergasan.

Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 12:46pm
d