arena

Pertembungan empat penjuru MotoGP

Oleh AFP

Madrid: Empat pelumba sedang memburu kedudukan teratas keseluruhan MotoGP tatkala mereka sedang mempersiapkan diri bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Catalan Ahad ini.

Selepas tujuh pusingan, Fabio Quartararo yang menyinar di awal saingan satu mata di belakang pendahulu, Andrea Dovizioso.

Dia masih belum memenangi perlumbaan dengan jentera Yamaha sejak kali terakhir perlumbaan diadakan di Sepanyol Julai lalu di GP Andalusia.

Pada usia 21 tahun, Quartararo menjadi pelumba termuda untuk mencabar kejuaraan kali ini dan ia adalah penampilan musim kedua di kategori perlumbaan elit ini.

Menduduki tempat keempat dalam perlumbaan hujung minggu lalu di GP Emilia-Romagna bakal memberi sedikit keyakinan buatnya untuk mengejar trofi juara dunia.

Bagaimanapun, juara di Itali yang turut menunggang jentera Yamaha, Maverick Vinales berjaya merapatkan jurang, menyamai kutipan mata keseluruhan bersama Quartararo, 83 mata dan menjadi pelumba pilihan untuk memintas Dovizioso.

Pelumba Sepanyol, Joan Mir (Suzuki) kurang empat mata dengan pendahulu untuk menduduki tangga keempat keseluruhan.

"Barcelona adalah litar kegemaran saya dan saya gembira untuk beraksi di sini kerana kami boleh memperoleh keputusan yang baik di sini," kata Quartararo.

Dovizioso memiliki sedikit kelebihan berdasarkan pengalamannya dalam saingan MotoGP.

Pada usia 34 tahun dia adalah satu-satunya daripada keempat-empat pelumba yang meraih mata di setiap perlumbaan sejak permulaan musim dan muncul juara di Austria pertengahan Ogos lalu.

Bagaimanapun, dia akan meninggalkan pasukan dari Itali itu selepas berakhir kempen musim ini dan terdapat desas-desus berlaku persengketaan dalam kem Ducati.

"Dalam dua perlumbaan terakhir kami gagal memberikan saingan kompetitif dan jika kami mahu bersaing memburu kejuaraan, kami tidak boleh membuang masa," kata Dovizioso.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 2:22pm
d