arena

Raikkonen terus merendah diri

Oleh AFP

Sochi: Kimi Raikkonen tidak mahu cerita mengenai menyamai rekod Rubens Barichello digembar-gemburkan menjelang perlumbaan hujung minggu ini sekali gus menjadikannya sebagai pelumba Formula Satu (F1) paling berpengalaman.

Pelumba kelahiran Finland yang terkenal dengan gelaran 'The Ice Man' itu akan beraksi dalam perlumbaan kali ke-322 Ahad ini di Grand Prix (GP) Russia, manakala Lewis Hamilton pula akan cuba menyamai rekod Michael Schumacher memburu kemenangan kali ke-91.

"Ia hanyalah satu lagi perlumbaan. Saya cuba untuk beraksi dengan sebaik mungkin dan kita akan lihat apa akan terjadi nanti.

"Saya rasa setiap rekod akan berakhir dengan ada yang memecahkannya dalam kebanyakan sukan dan itu sering terjadi sekarang. Saya sudah mengatakan perkara ini berkali-kali, ia tidak memberi sebarang makna buat saya.

"Ia tidak akan memberikan sebarang perubahan. Mungkin pada masa akan datang, apabila saya mengimbau kembali, tidak kira sebarang angka sekali pun, mungkin melihatnya dengan cara berbeza," kata pelumba Alfa Romeo itu.

Raikkonen, akan berusia 41 tahun bulan depan, dia sudah mula menyertai F1 pada 2001 bersama Sauber dan beraksi dengan McLaren, Ferrari, Lotus serta meraih kejuaraan dunia pada 2007.

Dia memulakan kariernya pada GP Australia 2001 dan pernah membabitkan diri dalam perlumbaan rali pada 2010 hingga 2011.

Dia adalah antara salah seorang daripada lima pelumba yang sudah beraksi lebih daripada 300 perlumbaan.

Pelumba lain ialah Barrichello dari Brazil, juara dunia dua kali Fernando Alonso (311), juara 2009, Jenson Button dan legenda F1, Michael Schumacher (306).

Raikkone pernah meraih 21 kejuaraan GP dan 103 kali menaiki podium sepanjang kariernya.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 2:45pm
d