arena

Solihin meninggal dunia akibat serangan jantung

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bekas arkitek pasukan Terengganu City FC (TCFC), Muhammad Solihin Mahamad, 24, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) malam tadi akibat serangan jantung.

Abang ipar Allahyarham, Mohd Sayuzi Mansor berkata, Muhammad Solihin yang pernah mendapat tawaran menyarung jersi pasukan Liga Super Selangor musim lalu sebelum itu rebah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ketika aksi persahabatan Selasa lalu.

"Pada malam Selasa lalu, arwah rebah sebelum muntah dan pengsan di padang selepas kira-kira 20 minit beraksi mewakili pasukannya, Gong Parit FC menentang Tualang FC pada aksi persahabatan sebelum dikejarkan ke HSNZ Kuala Terengganu.

"Selama tiga hari dirawat di HSNZ, arwah yang masih bujang tidak sedarkan diri sebelum menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi dan disahkan akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi.

Mohd Sayuzi berkata, anak bongsu daripada lapan beradik sebelum itu ada menyatakan hasrat untuk menyarung jersi pasukan Liga Perdana atau Liga Super Terengganu kerana itu impiannya sejak kecil untuk mewakili pasukan negeri kelahirannya.

"Arwah yang pernah membantu pasukan TCFC muncul juara Piala FAM 2018 selain pernah menyarung jersi pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada 2017 pernah menyuarakan impian untuk mewakili pasukan negeri.

"Pada tahun lalu arwah pernah menjalani sesi pemilihan dengan pasukan Terengganu FC II (TFC II), tapi tidak terpilih menyarung jersi pasukan itu, pada tahun sama arwah juga mendapat tawaran bersama pasukan The Red Giant, namun tidak berminat untuk mewakili pasukan itu," katanya.

Mohd Sayuzi berkata, arwah yang berasal dari Kampung Bukit Depu, selamat dikebumikan pada jam 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam kampung berkenaan.

Sementara itu bekas ketua jurulatih TCFC yang bertanggungjawab membimbing pemain itu pada 2018, Mohd Noor Derus berkata, Allahyarham adalah pemain utama pasukan sejak beliau melatih pasukan kelab dari Terengganu itu.

"Pemergian Solihin begitu dirasai kerana arwah seorang pemain yang rajin dan berdisiplin, malah lebih mengharukan arwah antara watak penting pasukan sehingga muncul juara Piala FAM. Pemergiannya satu kehilangan dalam sukan bola sepak," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 5:59pm
d