arena

Selamat tinggal PDRM

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pasukan PDRM sah mengucapkan selamat tinggal dalam saingan Liga Super musim depan selepas tumpas kepada Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak sebentar tadi.

Walaupun berbaki dua perlawanan lagi menentang Selangor dan PJ City FC, tapi ketinggalan enam mata dengan pasukan di tangga kesebelas liga, Sabah selain berhutang satu mata, impian skuad The Cops itu untuk kekal dalam liga divisyen satu sudah berkubur.

Pada pertemuan itu, skuad TFC yang tewas pada tiga aksi terdahulu bermula garang apabila mendapat jaringan pertama pada minit ke-13 menerusi Muhammad Faris Ramli.

Gol itu terhasil selepas pemain import kelahiran Singapura itu mendapat umpanan kapten, Lee Tuck dari sebelah kiri pintu gol pelawat yang gagal diselamatkan penjaga gol The Cops, Mohamad Farzly Muhammad.

Skuad Penyu yang mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil, Khirulazuan Kidam memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti Tuck pada minit ke-25.

Penalti itu diberikan selepas Faris dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan pelawat, Ahmad Syahmi Shukri yang mudah disempurnakan pemain berdarah kacukan Malaysia-England itu.

Menyedari kerap ditekan, pengendali The Cops, Mohamad Ishak Kunju Mohamad memasukkan dua tenaga baharu di posisi tengah, Dick Cheny Waili dan Mohd Safiee Ahmad pada minit ke-30, namun juga gagal memecah kebuntuan gol.

Sebaliknya skuad Penyu yang turun bagaikan harimau luka mendapat gol ketiga pada minit ke-45 menerusi sepakan lencong menarik Tuck dari jarak kira-kira 25 meter yang menerjah ke penjuru kiri gawang pelawat untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Sepanjang babak pertama, skuad pelawat yang menghuni di tangga tercorot liga hanya berjaya melakukan dua percubaan, tapi berjaya dinafikan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Pada minit ke-74, Faris sekali lagi berjaya menambah jaringan keempat pasukannya juga gol kedua peribadinya apabila menanduk masuk bola hantaran Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar untuk menjadikan kedudukan 4-0 hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: September 25, 2020 @ 11:12pm
d