arena

Tokyo tetap mahu anjurkan Olimpik

Oleh AFP

New York: Jepun bertekad untuk terus menganjurkan Sukan Olimpik pada 2021 selepas ditangguhkan tahun ini walaupun diancam penularan pandemik Covid-19.

Perkara itu disahkan oleh perdana menteri yang baru dilantik ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Pada musim panas tahun depan, Jepun bertekad untuk menganjurkan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 bagi membuktikan bahawa manusia sudah mengalahkan pandemik berkenaan.

"Saya akan terus berusaha untuk menyambut kedatangan anda ke temasya itu dalam keadaan selamat," kata Yoshihide Suga.

Susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, temasya terbesar dunia itu yang sepatutnya berlangsung pada Julai lalu terpaksa ditangguhkan pada tahun depan.

Bagaimanapun, dengan peningkatan jumlah jangkitan yang berlaku di seluruh dunia, persoalan mula timbul sama ada temasya itu boleh diteruskan tahun depan.

Penganjur dan pegawai Olimpik menegaskan temasya berkenaan tetap akan berlangsung dengan Naib Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), John Coates berkata ia perlu diteruskan bagi mengelak kekecewaan dalam kalangan atlet sekiranya ia dibatalkan.

Namun, pakar perubatan memberi amaran penganjuran temasya berskala besar di peringkat antarabangsa mungkin sukar dilaksanakan sekiranya pandemik berkenaan masih belum mampu dikawal menjelang musim panas tahun depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 8:52am
    d