arena

Ndombele berjaya gembirakan Mourinho

Oleh Agensi

London: Ia satu perubahan yang luar biasa dipamerkan oleh tonggak tengah Tottenham Hotspur, Tanguy Ndombele dan Jose Mourinho sendiri berpuas hati dengan usaha dilakukan pemain ketika di dalam latihan.

Pemain berusia 23 tahun itu bergelut untuk memberi impak musim lalu sejak menyertai kelab London itu dari pasukan Ligue 1, Lyon.

Terdapat persoalan mengenai kecergasan dan motivasi pemain itu sehingga membuatkan Mourinho tidak gembira serta masa depannya menjadi spekulasi pihak media.

Pemain tengah itu dilaporkan memulakan saingan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan semangat baru.

Berdasarkan laporan Football London, Ndombele berjaya membuatkan staf di Spurs berpuas hati ketika di padang latihan di Hotspur Way.

Dia menjadi semakin baik dalam setiap perlawanan termasuk mendapat peluang beraksi penuh 90 minit buat kali pertama musim ini ketika Spurs mencatat kemenangan 3-1 ke atas Shkendija bagi saingan Liga Europa.

"Saya sangat gembira. Saya sudah mengatakan perkara ini banyak kali, apabila pemain menunjukkan peningkatan ia adalah dari usaha pemain itu sendiri. Pemain itu sendiri harus mendapat pujian, bukannya jurulatih yang membuatkan keajaiban.

"Pemain yang berusaha sendiri, akan memahami apa perlu perlu difahaminya dan pergi ke arah betul yang sepatutnya ditujuinya.

'Tanguy, secara berperingkat sudah bermain dengan baik. Dia sudah beraksi dalam tempoh 90 minit. Dia memberikan dinamik yang bagus buat pasukan.

"Dia mampu untuk merampas bola, berusaha membantu pasukan bertahan dan sudah tentu ia satu permainan yang positif buatnya," kata Mourinho.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 3:16pm
d