arena

Saya bertanggungjawab - Ishak

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: "Saya bertanggungjawab," Demikian reaksi ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad selepas pasukannya mengucap selamat tinggal dalam saingan Liga Super musim depan sesudah tersungkur di tangan Terengganu FC malam tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak itu, skuad The Cops ternyata gagal menyaingi kehebatan pemain skuad Penyu selepas tumpas 0-4 sekali gus gagal mengutip sebarang mata setakat ini dalam carta liga dan menghuni di tangga tercorot liga.

"Kami dibolosi empat gol tanpa balas, saya rasa bertanggungjawab sepenuhnya kekalahan malam ini (malam tadi), mungkin percaturan kami tidak begitu menjadi sehingga kami dihukum pihak lawan.

"Lagi satu saya lihat pemain tidak cukup agresif dan kurang tajam terutama dalam kawasan gol pihak lawan, tapi saya tiada pilihan kerana pemain ini sahaja yang kami ada ditambah ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan.

"Tersingkir ke Liga Perdana musim depan kita bukan mencari alasan tetapi inilah sahaja pemain yang ada dan ini jelas menunjukkan pemain yang ada masih belum cukup bagus untuk bersaing, tapi saya tidak mahu menyalahkan mereka, begitu juga pihak pengurusan kerana mereka sudah memberikan yang terbaik.

"Jadi untuk baki dua perlawanan lagi, kami akan berusaha memperbaiki mutu permainan untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan kerana kita tidak mahu menyerah kalah sebelum bertarung, kita mahu pemain pamerkan corak permainan terbaik biarpun sudah sah tersingkir daripada Liga Super musim depan," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, skuad The Cops itu hanya mempunyai dua percubaan tepat ke arah gol manakala selebihnya di dominasi pasukan tuan rumah yang begitu mudah memasuki kawasan penalti pelawat.

Ketika ditanya proses penswastaan kelab kerana pasukan itu antara tiga pasukan yang belum melengkapkannya sebelum 30 September ini, Ishak enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan.

"Saya rasa perkara ini lebih kepada pihak pengurusan, lagipun masih dalam proses, saya rasa Insya-Allah perkara ini akan dapat diselesaikan oleh pihak pengurusan sama-samalah kita doakan," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 3:32pm
d