arena

SRFC buktikan mampu pikat penaja

Kuala Lumpur: Setiawangsa Rangers FC (SRFC) membuktikan meskipun berstatus kelab kecil, mereka mampu berdikari sendiri apabila memperoleh sokongan tajaan yang positif.

Kelab yang baru berusia dua tahun itu berjaya menarik perhatian sembilan penaja iaitu CRSC Group, Amaxmall, AirAsia, Sunway Avilla, Skyworld, Orangkata.my Sri Ternak Food Mart, Shortea Barbershop dan Voltagehub untuk menaja mereka.

Penaung SRFC yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui berbangga dengan pencapaian kelab itu yang dapat meyakinkan pihak penaja untuk tampil menaja mereka meskipun keadaan ekonomi ketika suram berikutan pandemik Covid-19.

"Saya percaya kesediaan penaja menaja kelab ini hasil beberapa siri kejayaan sebelum ini selain misi dan visi yang disusun dalam usaha menyemarakkan program pembangunan bola sepak di akar umbi.

"Saya gembira kerana kami kini sudah mempunyai 250 pemain dari umur bawah lapan tahun selain menubuhkan skuad padang dan futsal wanita yang mendapat sambutan menggalakkan bulan lalu," katanya selepas majlis pengenalan pasukan dan pelancaran jersi baharu kelab itu.

Sementara itu, Presiden SRFC, Khushairi Aizad Jamalludin yang juga bekas pemain Selangor dan Kelab Bolasepak AirAsia AllStar mengucapkan terima kasih atas sokongan penaja.

"Saya berharap kelab ini akan terus berkembang maju berdasarkan perancangan yang sudah dirangka termasuk tahun depan dan 2022 apabila kita menetapkan menyertai Liga AirAsia KL Junior, Liga Bolasepak Kuala Lumpur dan Liga M4," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2020 @ 9:45pm
d