arena

Lampard salahkan Alonso, Silva

Oleh Agensi

London: Chelsea berjaya bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk mencatat seri 3-3 ketika berdepan West Bromwich Albion namun Frank Lampard masih lagi kecewa dengan cara pasukannya beraksi.

Lampard percaya Marcos Alonso dan Thiago Silva patut dipersalahkan selepas pasukannya dimalukan West Brom pada separuh masa pertama.

Selepas ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama The Blues kembali bangkit sebaik babak kedua bersambung untuk meraih satu mata.

Jaringan daripada Mason Mount, Callum Hudson-Odoi dan Tammy Abraham menyelamatkan Chelsea daripada tidak meraih sebarang mata namun Lampard akui ia seperti mereka tercicir dua mata hanya disebabkan aksi pada separuh masa pertama.

Chelsea bermula dengan meyakinkan dan mampu untuk mendahului perlawanan dengan mudah melalui Abraham atau Timo Werner namun percubaan mereka terkena tiang gol.

Bagaimanapun, Callum Robinson berjaya memberikan gol pendahuluan buat The Baggies selepas Alonso mudah melakukan tandukan kepada pemain lawan.

Bekas pemain Sheffield United, yang menjaringkan gol ketika bertemu Chelsea musim lalu, menggandakan jaringan selepas menghukum kesilapan Silva dalam penampilan sulungnya di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lampard seakan tidak percaya apabila pasukan bimbingannya ketinggalan 0-3 apabila Kyle Bartley mudah menampan masuk bola yang berpunca dari sepakan sudut.

Lampard tidak berselindung selepas perlawanan, dengan berterus terang bahawa beliau sebenarnya mengharapkan lebih lagi daripada pertahanan berpengalaman seperti Alonso dan Silva.

"Kesilapan, satu kesilapan yang jelas. Pertama, Marcos menanduk di bahagian tengah bola bagi membolehkan mereka mengatur serangan.

"Thiago juga melakukan kesilapan, dia sudah cukup berpengalaman untuk mengetahui kesilapan yang dilakukannya dan kami semua tidak boleh menerimanya pada hari pertama penampilannya," kata Lampard.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 8:43am
d