arena

Van der Breggen di puncak prestasi

Oleh AFP

Imola: Pelumba Belanda, Anna van der Breggen mengakhiri musim luar biasa dengan memenangi kejuaraan dunia lebuh raya wanita selepas cemerlang dengan emas ujian masa individu dua hari lalu di Imola.

Bekas juara Olimpik itu melakukan kayuhan bertenaga 40 kilometer menuju garisan penamat, dengan mengalahkan rakan senegara, Annemiek van Vleuten dan pelumba Itali, Elisa Longo Borghini.

Pelumba berusia 30 tahun itu menjadi wanita pertama meraih kejuaraan berganda dalam tahun sama sejak kali terakhir dilakukan Jeannie Longo dari Perancis pada 1995.

"Ia sangat luar biasa. Ia perlumbaan yang sukar, kami bersaing sejak awal. Zon pendakian memang sangat sukar. Pada pusingan keempat, saya sudah mula mendapat kekuatan dan terus menggunakan kesempatan yang ada," kata Van der Breggen.

Ia adalah kejayaan ketiga dalam tempoh seminggu iaitu selepas dia meraih kejuaraan ujian masa di Giro d'Italia wanita bersama pasukan baru, Boels-Dolmans.

"Saya tidak pernah menjangkakan seperti ini. Musim ini sangat luar biasa buat saya setakat ini," katanya.

Van der Breggen mendominasi perlumbaan untuk meraih kembali kejuaraan yang pernah diraih pada 2018 dan merampas dari juara tahun lalu, Van Vleuten, dalam perlumbaan sejauh 143 kilometer melalui kawasan berbukit Romagna.

Ini adalah kejuaraan kali keempat berturut-turut diraih oleh pelumba Belanda, negara yang terkenal dengan kuasa besar sukan berbasikal lebuh raya wanita.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 2:33pm
d