arena

Djokovic tidak mahu ulangi kesilapan

Oleh AFP

Paris: Novak Djokovic mengakui dia tidak mahu lagi mengulangi insiden di Terbuka Amerika Syarikat (AS) menjelang aksi di Roland Garros.

Pemain nombor satu dunia itu berkata, dia tidak mahu melakukan kesilapan yang sama dua kali.

Djokovic disingkirkan di New York apabila bola yang dipukulnya selepas dalam situasi kecewa terkena penjaga garisan.

Selain mendapat kecaman di atas tindakannya itu, insiden berkenaan juga tercatat dalam rekod kariernya tahun ini iaitu satu-satunya kekalahan selepas melalui 32 perlawanan 2020.

"Selepas ini saya harus lebih berhati-hati ketika memukul bola di sekeliling gelanggang. Perkara itu masih lagi bermain di fikiran selepas apa yang berlaku di New York. Saya akan terus mengingatinya dalam tempoh yang lama.

"Sudah tentu, saya akan memastikan tidak melakukan kesilapan yang sama buat kali kedua," kata Djokovic.

Dia merangkul gelaran Terbuka Itali di Rome Isnin lalu untuk mencatat rekod kejuaraan Masters buat kali ke-36, sekali gus berjaya mengetepikan rekod Rafael Nadal.

Trofi yang diraihnya di Itali juga adalah kali keempat dalam lima kejohanan tahun ini.

Dia juga berjaya mengetepikan rekod Pete Sampras dengan menduduki ranking nombor satu dunia dalam tempoh 287 minggu dan hanya dibezakan dengan 310 minggu yang dipegang oleh Roger Federer.

"Saya mahu menjadi pemain pada versi terbaik, sentiasa mempunyai sifat kemanusiaan dan memenangi perlawanan tenis.

"Ia bukannya saya tidak boleh menjadi diri saya sendiri, kerana saya masih lagi mampu untuk menggenggam tangan atau menjerit atau apa saja yang berkaitan ketika saya berasa puas. Ia sudah berlaku di Rome," katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 3:51pm
d