arena

Arul umum senarai pemain Khamis ini

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Akan ada beberapa muka baru yang dipanggil ke dalam skuad kebangsaan di bawah pimpinan Arul Selvaraj yang gembira dengan persembahan mereka ketika beraksi di Piala Razak.

Arul ketika ditemui selepas tamatnya perlawanan akhir Piala Razak yang menyaksikan Perak muncul juara berkata, beliau akan mengemukakan senarai nama skuad kebangsaan Khamis ini selepas berbincang dengan pembantunya, Muhammad Amin Rahim serta pengurus baharu skuad kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi sebelum memuktamadkan senarai pemain ke sesi latihan nanti.

Kata Arul, beliau cukup berpuas dari segi persembahan pasukan yang bertanding dan akan cuba memanggil sebanyak mungkin pemain untuk memberi peluang mereka berlatih dalam skuad kebangsaan.

"Dari segi persembahan pasukan dan saya dapat apa yang saya nak. Hari Khamis ini saya akan maklumkan senarai pemain yang terpilih dan kemudian baru kita akan mengurangkan kepada skala yang lebih kecil.

"Akan ada satu dua muka baru akan kelihatan kerana saya suka sikap positif yang sentiasa bekerja untuk pasukan. Ini kerana kalau dalam bab hoki saya boleh tolong mereka tapi kalau diri sendiri itu susah nak tolong," katanya.

Di tanya sama ada beliau akan menyenaraikan penyerang prolifik negara, Faizal Saari dalam skuadnya, Arul enggan memberi komen lanjut namun menegaskan bahawa Faizal dapat memberikan apa yang beliau inginkan.

"Saya punya pendekatan berbeza. Satu adalah skil hoki, usaha, tanggungjawab dan prestasi menjadi keutamaan. Dalam Islam pun ada cakap, usaha tawakal dan doa. Saya tidak mahu pemain hanya harapkan skil saja. Dia perlu usaha dengan gigih.

"Saya ada berjumpa dengan Faizal sebelum ini dan apa yang saya harapkan daripada dia (Faizal), dia dapat berikan. Saya gembira dengan dia, untuk pasukan kebangsaan dan untuk dirinya sendiri. Saya dapat lihat kemahuan dan usahanya itu," katanya.

Arul yang mempunyai pengalaman luas di luar negara termasuk pernah membimbing pasukan Afrika Selatan dan Ireland, memaklumkan latihan skuad kebangsaan akan bermula 5 Oktober ini.

Beliau dilantik mengemudi skuad negara dengan kontrak selama dua tahun selepas pengendali dari Belanda, Roelant Oltmans mengambil keputusan untuk berundur lebih awal.

Disiarkan pada: September 27, 2020 @ 8:56pm
d