arena

Gol Ronaldo bantu Juventus curi satu mata

Oleh AFP

Milan: Cristiano Ronaldo meledak dua gol untuk mencuri satu mata buat Juventus yang menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas seri 2-2 di Roma ketika Napoli membelasah Genoa 6-0 dalam aksi Serie A, awal pagi ini.

Juventus yang juga juara bertahan ketinggalan 1-2 dan beraksi dengan kekurangan seorang pemain dalam tempoh satu jam di Stadio Olimpico selepas Jordan Veretout memastikan tuan rumah mendahului dan Adrien Rabiot diperintah keluar padang.

Namun Ronaldo yang melompat tinggi melakukan tandukan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 untuk mengelak kekalahan pertama jurulatih baru Juventus, Andrea Pirlo.

"Berada di belakang adalah sesuatu yang sukar tetapi kami memperoleh mata yang cukup penting.

"Kami di permulaan musim, bersama jurulatih baru. Namun pasukan ini beraksi dengan baik, saya yakin dengan masa depan skuad ini." kata Ronaldo.

Sementara itu, Hirving Lozano meledak dua gol ketika Napoli mengalahkan Genoa manakala AC Milan meneruskan aksi kemenangan tanpa Zlatan Ibrahimovic ketika mengatasi pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke liga utama, Crotone, 2-0.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 7:11am
d