arena

Lupakan sahaja tempat ketiga - Sazali

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Hasrat Negeri Sembilan untuk menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tempat ketiga boleh dianggap sudah tertutup susulan kekalahan kepada Kuching FC, 2-4, dalam aksi di gelanggang sendiri, Jumaat lalu.

Ketua jurulatih pasukan itu, Sazali Saidun akui amat sukar untuk Negeri Sembilan menempatkan diri dalam kedudukan tiga terbaik liga kerana ketika ini berada di tangga ke lapan dengan 10 mata.

"Sukar untuk kita capai (tempat ketiga) kerana selain perlu menang baki dua perlawanan, kita juga perlu mengharapkan pasukan yang berada di atas, tewas dalam perlawanan mereka.

"Ini tidak mungkin boleh berlaku ketika setiap pasukan sedang menggandakan usaha untuk menamatkan baki dua perlawanan dengan keputusan cemerlang," katanya hari ini.

Ketika ini, skuad Hobin Jang Hobin ketinggalan lima mata dengan Terengganu FC II (TFC II) yang mengumpul 16 mata dan berada di tempat ketiga carta liga selepas menamatkan sembilan perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali berasal dari Johor itu berkata, fokus pihaknya ketika ini adalah untuk memastikan skuad berkenaan mampu layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Justeru katanya, Negeri Sembilan perlu mencatat kemenangan dalam pertembungan dengan Kelantan di tempat lawan, Sabtu ini dan perlawanan terakhir menentang Sarawak United di gelanggang sendiri, 9 Oktober depan.

"Hanya dengan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir itu akan dapat memastikan peluang beraksi dalam kempen Piala Malaysia musim ini boleh dicapai. Lima pasukan dari Liga Perdana akan dipilih ke saingan Piala Malaysia," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan kepada Kuching FC di tempat sendiri, Sazali akui kecewa dengan persembahan anak buahnya yang dilihat gagal memberikan saingan selain memberikan gol mudah kepada pasukan lawan.

"Pemain lambat bertindak menutup ruang memudahkan jentera serangan pasukan lawan menjaringkan tiga gol dalam tempoh singkat dan keadaan itu menyukarkan buat pemain untuk bangkit memadamkan defisit lawan," katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 6:29pm
d