arena

Kasma makin meningkat

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin semakin menunjukkan peningkatan di Kejohanan Motosikal Dunia selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 pada Grand Prix (GP) Catalunya semalam.

Untuk rekod, ia penamat terbaik kali kedua diraih pelumba pasukan Onexox TKKR SAG itu selepas sembilan pusingan perlumbaan pada tahun pertamanya di saingan berprestij itu.

Pelumba berusia 20 tahun itu meraih penamat sama pada pusingan ketujuh di GP San Marino sebelum ini.

"Sudah tentu saya gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan dan bersaing sengit dengan pelumba lain. Saya bermula dari petak ke-27 dan pada satu ketika berada di kedudukan ke-18. "Malangnya saya melakukan sedikit kesilapan kerana tidak dapat membrek dan menghentikan jentera, jadi saya kehilangan kedudukan.

"Bermula dari saat itu, saya kembali fokus dan mengekalkan aksi konsisten pada setiap pusingan. Di hujung perlumbaan saya mula berasa sakit di bahagian lengan tetapi berjaya juga menamatkan perlumbaan," katanya.

Sementara itu pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Oceanica Aspar sekali lagi gagal meraih mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-18.

Kali terakhir Hafizh memungut mata adalah pada pusingan keempat di GP Republik Czech.

Pelumba Moto3, Khairul Ihdam Pawi dari pasukan Petronas Sprinta Racing pula sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-24.

Disiarkan pada: September 28, 2020 @ 6:46pm
d