arena

Nadal, Serena teruskan pemburuan di Terbuka Perancis

Oleh AFP

Paris: Rafael Nadal memulakan pemburuan untuk merekodkan kejuaraan Grand Slam lelaki ke-20 dengan kemenangan straight set di Terbuka Perancis sementara Serena Williams bermula perlahan namun berjaya mara dalam usaha menyamai rekod Margaret Court.

Nadal, 34, memerlukan satu lagi Slam untuk menyamai rekod Roger Federer menyifatkan usaha mempertahan kejuaraan mahkota Roland Garros adalah 'antara paling sukar' ketika cuaca sejuk dan lembap selepas kejohanan ditangguhkan lebih empat bulan kerana pandemik Covid-19.

Pemain pilihan kedua itu menewaskan pemain nombor 83 dunia dari Belarus, Egor Gerasimov, 6-4, 6-4, 6-2 untuk melancarkan pemburuan kejuaraan Terbuka Perancis ke-13, 15 tahun selepas melakar kemenangan pada penampilan pertamanya.

"Jujur, saya sangat gembira. Saya melakukan perkara yang harus dilakukan. Saya tidak meletakkan harapan yang sangat tinggi," kata Nadal.

"Saya sangat gembira untuk kembali di Chatrier.

"Diharap ia akan kembali seperti biasa pada tahun depan dan saya akan beraksi di hadapan penonton yang ramai."

Bintang Sepanyol itu tampil buat pertama kali di Paris tanpa kejuaraan tanah liat musim ini dan tidak beraksi di Amerika Syarikat (AS) kerana kebimbangan terhadap Covid-19.

Serena pula memburu kejuaraan Grand Slam ke-24 untuk menyamai rekod sepanjang zaman Margaret Court namun gelanggang tanah liat dilihat kurang berpihak kepadanya.

Kesilapan dalam awal permainan oleh bintang Amerika itu membenarkan pemain nombor 102 dunia, Kristie Ahn melakukan pukulan servis di set pertama sebelum juara tiga kali Roland Garros bangkit mengatasi lawan 7-6 (7/2), 6-0.

"Dia beraksi sangat baik pada set pertama, bukan mudah buat saya dan dia banyak memperoleh mata," kata Serena yang beraksi di Terbuka Perancis buat kali ke-18.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 9:18am
d