arena

Arteta respek Liverpool

Oleh Agensi

Liverpool: Mikel Arteta mengakui Liverpool memberi bayangan sejauh mana usaha perlu dilakukan Arsenal untuk bersaing dengan pasukan elit di Liga Perdana berikutan kekalahan 1-3 di Anfield, awal pagi ini.

Arteta, yang memimpin kelab London utara itu melakar dua kemenangan ke atas Liverpool sebelum ini, terpaksa akur bahawa skuad kendalian Jurgen Klopp jauh lebih baik dalam pertemuan terbaru itu.

"Kami memberi saingan dalam sebahagian besar perlawanan ini. Realitinya, mereka lebih baik daripada kami dalam banyak aspek.

"Saya sangat gemar dengan cara pasukan ini beraksi dan saya memiliki kepercayaan terhadap mereka. Inilah tahap yang harus kami capai.

"Kami meniti laluan yang berbeza. Mereka sudah dibentuk selama lima tahun sementara kami baru beberapa bulan." kata Arteta

The Gunners mendahului menerusi percubaan tepat pertama mereka pada minit ke-25 selain hanya berupaya melakukan dua sentuhan di dalam kotak penalti lawan - sebelum juara bertahan Liga Perdana itu bangkit.

Sadio Mane menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sementara Andy Robertson, yang tersilap langkah dalam gol pembukaan Alexandre Lacazette, meletakkan The Reds di depan sebelum bintang baru, Diogo Jota, memastikan kemenangan bergaya tuan rumah.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 10:09am
d