arena

Haziq harap dapat pikat Arul

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemain hoki Perak, Muhammad Haziq Shamsul mengharapkan aksinya sepanjang di Piala Razak dapat memikat hati jurulatih kebangsaan, Arul Selvaraj untuk menyenaraikannya kembali dalam skuad kebangsaan, esok (Khamis).

Berusia 26 tahun, Haziq berkata, dia sudah memberikan yang terbaik sepanjang kejohanan berlangsung dan jaringan hatrik ketika perlawanan akhir antara Perak dan Terengganu Sabtu lalu itu diharapkan dapat membuka hati Arul untuk memilihnya kembali ke dalam skuad negara.

Biarpun mengalami kecederaan hamstring pada minit terakhir perlawanan itu, Haziq berkata, ia membuktikan betapa dia bersungguh-sungguh untuk memberikan aksi yang terbaik.

"Dua tahun yang penuh liku. Saya alami kecederaan dan terpaksa melalui pembedahan lutut dan awal tahun ini baru saya kembali dan buktikan saya mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Namun saya tiada hak untuk memaksa jurulatih memilih saya bagaimanapun saya amat berharap jurulatih (Arul) dapat menerima saya seadanya. Mungkin ada sedikit prestasi saya yang dapat membuka hatinya untuk pilih saya dalam skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, teka teki siapakah yang akan membarisi skuad kebangsaan akan diketahui Khamis ini yang mana latihan sepenuhnya akan bermula pada 5 Oktober depan.

Arul ketika ditemui turut maklumkan bahawa akan ada muka baru yang akan dipanggil bagi memperkuatkan skuad negara namun tidak menolak untuk menyenaraikan bekas pemain kebangsaan yang lain.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 9:44pm
d