arena

Sedikit tidak terjejas - Bellerin

Oleh AFP

London: Hector Bellerin berkata, Arsenal sedang membina identiti baru di bawah Mikel Arteta dan tidak akan berasa terjejas dengan kekalahan 1-3 ke atas Liverpool.

Kelab dari London itu hanya menguasai 34 peratus permainan di Anfield, selepas dilihat berdepan kesukaran untuk berdepan corak permainan berintensiti tinggi yang dipamerkan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, Bellerin berkata, pemain Arsenal tetap menaruh kepercayaan dengan falsafah Arteta walaupun mereka mencatat kekalahan pertama musim ini.

"Saya rasa apabila anda membina identiti baru, cara baru bermain bola sepak, ia tidak akan sempurna dalam tempoh singkat.

"Ia mengambil sedikit masa, dengan adakalanya berdepan kekalahan, mencatat kemenangan, pelbagai perkara perlu dipelajari," katanya.

"Kami mempunyai ramai pemain baru yang hadir musim ini dan mereka perlu menyesuaikan diri dengan sistem diterapkan,"

"Ini cara permainan kami. Ia sudah diterapkan di dalam latihan sejak Mikel tiba di sini, hanya kerana pasukan terbaik di Eropah memberi tekanan kepada kami, ia tidak bermakna kami harus tukar cara kami bermain," katanya.

Arteta, yang menyertai The Gunners Disember lalu, harus segera mempersiapkan diri bagi membalas dendam ke atas The Reds apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi Khamis ini di pusingan keempat Piala Liga.

Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 10:10pm
d