arena

BWF yakin sudah buat keputusan terbaik

Oleh AFP

Kuala Lumpur: Badan badminton dunia mempertahankan aksi musim ini ditangguhkan sehingga Januari walaupun ia menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, ia adalah jalan terbaik tatkala seluruh dunia sedang berdepan pandemik Covid-19.

Virus berkenaan nyata memberi impak dan mengganggu kalendar badminton, dengan BWF terpaksa membuat keputusan penangguhan secara berulang.

Dalam perubahan terbaru, BWF membuat pengumuman minggu lalu tiga kejohanan yang dijadikan sebagai siri jelajah di Asia di ibu negara Thailand, Bangkok diubah kepada Januari.

Sebelum ini kejohanan berkenaan yang dijadikan sebagai kejohanan terakhir untuk musim 2020 dijadualkan berlangsung pada November.

Presiden BWF, Poul Erik Hoyer berkata, ia adalah keputusan terbaik ketika mereka berdepan musim yang sangat menyukarkan tahun ini.

"Berdasarkan cabaran yang kami terpaksa hadapi, ini adalah penyelesaian terbaik untuk berdepan sebarang kemungkinan.

"Saya yakin dengan protokol keselamatan yang bakal diperkenalkan nanti, ketiga-tiga kejohanan itu mampu diadakan dengan jayanya apabila kita kembali pada 2021," katanya.

Beberapa pemain Denmark, termasuk beregu lelaki, Anders Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup dilaporkan berang dengan berita penangguhan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 11:48pm
    d