arena

'Tak nak jadi KFC, kita namakan Darulaman FC'

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memilih nama Darulaman FC (DFC) bagi proses penswataan kelab dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) yang selesai dilakukan dan mengikut garis panduan ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk Liga Malaysia pada musim ini.

Presiden KFA yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, nama yang didaftarkan adalah Darulaman Football Club Sdn Bhd. (DFCSB) dan tampil dengan logo baharu selaras dengan transformasi penawastaan yang dilaksanakan.

"Darulaman FC (DFC) merupakan nama baharu yang dipilih dan bayangan logo baharu pula ada imej bola, bunga padi, perisai, bintang, warna hijau dan warna kuning.

"Kita mesti ada imej padi, hijau,kuning, merah, bola serta ada perisai dan juga bintang. Apa yang kita gabungkan ini ada keterangan dan penjelasannya dan kita akan terangkan sedikit masa lagi semasa masa pelancaran nama baharu kelab ini nanti.

"Secara formalitinya penswastaan ini hanyalah pada atas kertas sahaja, sementara sokongan rakyat Kedah pada bola sepak pula, Kedah itu masih guna gelaran Hijau Kuning dan lagu yang sama, cuma kita kena letak nama baharu sahaja.

"Bila kita fikir-fikir Kedah Footbal Club akan jadi KFC, (kita) tidak mahu jadi ayam goreng, nak elak daripada ayam goreng kita namakan Darulaman FC (DFC), masih guna warna yang sama, lagu yang sama, hijau kuning, kita boleh bersorak sama, logo kena lain, DFC kena ada logo sendiri lah," katanya.

Sanusi juga menjelaskan berkaitan pemilikan syarikat DFCSB, setakat ini pihak KFA masih memegang saham berjumlah 100 peratus dan ruang pemilikan saham pada syarikat baharu ini masih dibuka.

"Sehingga kini masih ada lagi pihak yang membuat temujanji untuk datang berbincang dan kita bersedia berjumpa dengan sesiapa pun yang berminat untuk kita rundingkan pemilikan saham, dan mereka yang berminat boleh datang berunding untuk beli saham DFC ini.

"Sebelum ini ada pihak dari Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) yang berhasrat membeli saham DFC, namun mereka belum mengemukakan perkara yang diperlukan oleh DFC kerana kita mahukan 'proof of fund' atau bukti dana dan mereka perlu tunjukkan keupayaan kewangan untuk memiliki saham ini.

"Pihak KAKB mohon sebanyak 51 peratus, dan contoh jika saham DFC ini bernilai RM30 juta, mereka kena tunjuk yang mereka ada duit lebih dari RM15 juta dan pihak mereka belum dapat tunjukkan perkara itu dan kita harap mereka dapat tunjukkan nanti," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 6:22pm
d