arena

Penswastaan hanyalah langkah pertama

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jangan terlalu gembira apabila sudah selesai proses penswastaan kerana perjalanan bagi pasukan yang berjaya menyelesaikan perkara terbabit masih lagi terlalu jauh berbanding dengan kelab yang sudah stabil di luar negara.

Malah, proses pendaftaran daripada persatuan kepada kelab bola sepak (FC) adalah langkah pertama dan setiap pengurusan pasukan akan melalui lebih banyak cabaran dan rintangan pada masa akan datang.

Perkara terbabit diingatkan oleh Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam apabila mahu pasukan lebih bersedia memperhalusi dan menstabilkan bahagian pengurusan bagi mengelak berulang lagi masalah seperti tunggakan gaji.

Malah, penswastaan ini juga menyaksikan dana yang dikeluarkan oleh pihak tertentu termasuk kerajaan digunakan sebaik mungkin untuk tujuan pembangunan bola sepak akar umbi dan memantapkan lagi pasukan utama.

"Lapan tahun sudah tertangguh (proses penswastaan) jadi saya sudah cakap pada semua ini bukan pengakhiran tapi sebenarnya adalah permulaan atau langkah pertama selepas pembentukan FC sebelum menjadi lebih kukuh.

"Selepas ini, pasukan perlu perkukuhan pula struktur dan lembaga pengarah dalam setiap pasukan sebab sekarang lebih kepada dana kerajaan tapi itu sebenarnya tidak betul atau tidak salah, kerana itu hanya sebagai persepsi bagaimana duit itu digunakan.

"Jika duit (dana) itu digunakan dengan betul tiada salahnya, tapi bila tiada hasil orang akan pertikaikan, bola sepak adalah sukan rakyat dan kini sudah berada di tahap profesional," katanya, di sini.

Sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM Mohd Firdaus Mohamed memaklumkan walau apa jua konsep digunakan oleh pasukan Liga-M, beliau percaya hasrat untuk melihat semua pasukan bergerak secara berasingan akan tercapai.

Bagaimanapun berdasarkan syarat ditetapkan FAM, pemilikan kelab oleh FA hanya untuk tempoh dua tahun bermula musim depan.

Ini bermakna menjelang 2023, FA tidak dibenarkan untuk memiliki kelab di mana mereka perlu mencari pembeli atau dimiliki secara perkongsian seperti mana diamalkan oleh kelab-kelab di Eropah.

Disiarkan pada: September 30, 2020 @ 8:28pm
d