arena

Dua pasukan tersangkut

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Wisel penamat proses penswastaan sudah dibunyikan, namun dua pasukan masih sangkut berikutan dokumen dihantar tidak memenuhi kriteria ditetapkan Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dua pasukan terbabit masing-masing Felda United dan UKM FC yang sebelum ini menghantar dokumen penswastaan gagal melengkapkan beberapa dokumen hingga memaksa badan induk bola sepak negara itu memberikan talian hayat sehingga esok.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan pihaknya kurang berpuas hati dengan dokumen dihantar dua pasukan terbabit dan melakukan penilaian terakhir.

"Mereka (Felda United dan UKM) sudah bagi dokumen dan kami sedang menilai sebab ada dokumen yang sedang teliti.

"Kami beritahu keputusannya sama ada mereka lepas dalam hal penswastaan ini ataupun tidak," katanya, semalam.

Mohd Firdaus berkata, masalah dihadapi kedua-dua pasukan berkenaan membabitkan dokumen daripada ahli lembaga pengarah (ALP) Felda dan UKM.

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada semua pasukan yang melengkapkan proses penswastaan terutama beberapa pasukan yang pada mulanya agak perlahan.

"PDRM menghantar dokumen dua minggu lalu, tapi hanya satu dokumen tak lengkap. Tapi mereka hantar tadi (semalam), jadi ia selesai.

"Semua pasukan lain melengkapkan proses penswastaan. Ia juga dianggap sebagai sejarah bagi penswastaan itu kerana sudah beberapa tahun tertangguh. Ini pencapaian terbaik di bawah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang banyak membantu jawatankuasa khas ini dalam memastikan proses penswastaan dilakukan," katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan FAM tidak berkompromi dengan mana-mana pasukan dan mereka yang gagal melengkapkan proses penswastaan diturunkan ke liga amatur, Liga M3.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 6:00am
d