arena

Cabaran baharu Kipchoge, Bekele

Oleh AFP

London: Dua pelari maraton terpantas dalam sejarah, Eliud Kipchoge dan Kenenisa Bekele berkata, banyak faktor boleh mempengaruhi misi mereka mencatat rekod dunia pada Maraton London, Ahad ini.

Namun, pengarah kejohanan Hugh Brasher percaya catatan rekod baharu boleh dicipta di atas laluan baharu lebih landai dan laju walaupun berdepan kemungkinan hujan dengan sesi latihan terjejas angkara pandemik koronavirus.

Atlet Habsyah, Bekele yang juga juara Olimpik 10,000 meter hanya dua saat di belakang rekod dunia milik Kipchoge, 2 jam 1 minit 39 saat yang dicatat ketika menjuarai Maraton Berlin tahun lalu.

Tidak lagi di venue tradisi, perlumbaan London yang hanya membabitkan pelumba elit akan berlangsung di atas laluan baharu mengandungi 19.6 pusingan St James's Park di tengah London, tanpa disaksikan penonton.

Ketika ditanya sama ada rekod baharu mampu dicipta, Bekele, 38 tahun berkata: ''Ia laluan baru melainkan kami dapat periksa sekurang-kurangnya kali pertama atau ada orang lain sebelum ini berlari di situ baharulah anda boleh meneka.

"Tetapi buat masa sekarang, ia sukar diperkatakan sama ada ia laju atau tidak. Semua boleh berlaku jika semuanya berjalan lancar.''

Juara London empat kali, Kipchoge, 35, berkata dia gembira dapat kembali berlari selepas hampir setahun tidak beraksi kerana pandemik.

Atlet Kenya itu berkata dia tidak kisah berlari beberapa pusingan tetapi Bekele pula lebih memilih berlari di ibu kota Britain.

"Ia bukan perkara mudah,'' katanya. ''Mungkin ada ketikanya anda kehilangan mata selepas kurang pantas ketika melewati selekoh. Saya tak tahu bentuk selekoh itu, kita tunggu sahaja Ahad ini.''

Kedua-dua pelari itu mengakui perlumbaan kali ini pasti mencetuskan perasaan berbeza tanpa kehadiran puluhan ribu penonton di sepanjang jalan.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 2:06pm
d