arena

Kepda sokong Sanusi undur

Alor Setar: Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) menyokong hasrat Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor melepaskan jawatan kepada pihak yang lebih layak demi memajukan lagi sukan itu.

Presiden Kepda, Nor Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya menghormati pendirian Sanusi yang jelas berniat mahukan perubahan untuk kemajuan pasukan Lang Merah.

"Jangan salah anggap, kami menghormati pendirian beliau dalam usaha memajukan bola sepak Kedah ke peringkat terbaik dan niatnya untuk 'berundur' tidak harus disalah faham penyokong.

"Kami menganggap hasrat Sanusi itu satu pilihan tepat. Ini kerana liga kita pun sudah diswastakan, jadi sudah pasti setiap pasukan perlukan individu berkepakaran dalam mengemudi pasukan Kedah.

"Sebagai penyokong setia Kedah, kami menyokong sekiranya ada orang yang lebih berkelayakan dapat menaikkan lagi tahap sukan ini ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Kepda juga yakin Kedah tidak ketandusan pakar yang boleh mencurahkan bakti dalam mengembalikan era kegemilangan Kedah seperti dikecapi pada zaman Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil.

"Ia sebenarnya elok kerana Kedah juga sebenarnya tidak ketandusan pakar dalam bola sepak dan ada ramai individu yang berkelayakan untuk 'pegang' bola Kedah kalau betul-betul dicari.

"Bila kita memasuki era penswastaan, mahu tidak mahu, kita kena gunakan orang yang lebih pakar untuk membawa Kedah ke arah kegemilangan," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 3:19pm
d