arena

Reezal sokong KJ terajui PKBM

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyokong sekiranya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berhasrat untuk menerajui Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menurutnya, Khairy Jamaluddin dikenali sebagai seorang yang dinamik dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang sukan.

"Dua bidang sukan yang saya tahu beliau mempunyai minat yang mendalam adalah berbasikal dan bola sepak," katanya kepada media selepas melancarkan Esports Integrated (ESI), hari ini.

Katanya, mantan menteri di KBS itu sudah membuktikannya dengan membangunkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

"Saya sebenarnya mengalu-alukan kalau ada sumbangan dalam kalangan menteri-menteri yang boleh membawa bidang sukan itu diangkat jauh lebih tinggi," katanya.

Sebelum ini, penggiat sukan berbasikal termasuk pelumba, bekas pelumba dan jurulatih menggangap Khairy Jamaluddin sebagai calon paling layak untuk mengambil alih kerusi nombor satu PKBM selepas dipilih sebagai Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) pada 19 September lalu.

PKBM ketika ini diterajui oleh presiden, Datuk Abu Samah Wahab yang sudah mengetuai badan induk itu sejak 1990.

Ditanya sama ada menteri persekutuan dibenarkan untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan, Reezal berkata tiada halangan daripada pihaknya.

"Setakat ini, tidak pernah dibawa dalam kabinet dan tidak pernah ada sebarang arahan yang saya dimaklumkan.

"Ia bergantung kepada individu. Kalau Khairy, orang tahu beliau seorang mempunyai minat mendalam dalam sukan dan bidang bola sepak. Jadi, saya tidak nampak itu satu kekangan atau halangan.

"Secara jujur, beliau ada menghubungi saya (sebelum bertanding jawatan Presiden PLBNS, minta pandangan dan seakan-akan minta kebenaran tetapi saya katakan tidak perlu," katanya.

Pada 2007, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen untuk memegang jawatan dalam persatuan sukan.

Khairy Jamaluddin ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2017 ada memaklumkan mana-mana menteri yang mahu memegang jawatan dalam persatuan sukan kebangsaan perlu mendapat kebenaran Perdana Menteri atau jemaah menteri terlebih dulu.

Disiarkan pada: October 1, 2020 @ 8:27pm
d