arena

Skuad projek hoki ada misi penting

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Seramai 26 pemain bagi skuad remaja lelaki dan 30 pemain wanita dipanggil untuk menjalani latihan pusat di bawah skuad projek khas yang akan memulakan latihan secara intensif bermula Isnin ini.

Bagi skuad projek lelaki, empat pemain mengisi posisi penjaga gol, lapan pertahanan, tujuh di bahagian tengah dan tujuh lagi di posisi penyerang.

Skuad bimbingan Wallace Tan ini mempunyai tempoh tiga bulan untuk menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh bermula dari 21 hingga 30 Januari tahun depan itu meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga terbaik seterusnya melayakkan diri ke Kejohanan Remaja Dunia.

Wallace mempertaruhkan enam muka baru sementara 20 pemain adalah terdiri daripada mereka yang sudah berada dalam skuad sebelum ini.

Katanya, mereka yang dipilih mempunyai kriteria yang sudah ditetapkan iaitu dengan prestasi yang dinilai sejak awal tahun dan juga ketika aksi di Piala Razak baru-baru ini.

"Saya melakukan penilaian secara menyeluruh terutama ketika mereka menjalani latihan pusat sebelum menyertai kejohanan Piala Razak.

"Antara yang menjadi kriteria pemilihan adalah skil yang mereka tunjukkan selain kerja keras untuk memastikan mereka layak untuk dipanggil menyertai skuad pemilihan fasa terakhir," kata Wallace. Sementara itu, pada sidang media yang sama turut diumumkan senarai pemain skuad wanita di bawah kendalian Nasihin Nubli yang menyerapkan tiga muka ke dalam skuad projek khas berkenaan.

Nasihin berkata, dia memilih pemain yang menunjukkan persembahan konsisten ketika beraksi di Piala Razak selain menitik beratkan usia yang muda dengan kebanyakan pemain adalah berusia dalam lingkungan umur 21 tahun bersesuaian dengan misi membentuk pasukan yang mantap untuk jangka masa panjang.

Pemain yang dipanggil membarisi skuad projek khas wanita adalah terdiri daripada empat di posisi penjaga gol, 12 pertahanan, enam tengah dan lapan penyerang sementara 30 senarai pemain yang dikeluarkan, enam daripada adalah pemain senior yang dalam rangka persiapan menjelang Trofi Juara-Juara (Asia), Donghae, Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung 31 Mac hingga 6 April tahun depan.

"Dalam membentuk pasukan antara perkara yang ingin saya lakukan adalah memperbaiki cara pemikiran mereka dalam sesi latihan juga ketika mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan di peringkat tertinggi.

"Saya mahu membentuk pemain yang boleh menghadapi dan menangani tekanan dengan mudah selain memberi fokus membina karakter sebagai pemain kebangsaan," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 7:50pm
d