arena

Skuasy kebangsaan tarik penyertaan tinggi

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kejohanan Skuasy Kebangsaan dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 11 Oktober, yang menjadi kejohanan pertama sejak penularan Covid-19, menarik jumlah penyertaan yang lebih ramai, kata Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerrard Monteiro.

Menurut Monteiro, kejohanan edisi ke-36 itu diadakan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, menerima penyertaan daripada 170 pemain lelaki dan 68 pemain wanita, jauh melebihi keseluruhan pendaftaran 145 pemain pada kejohanan tahun lepas.

"Pemain dahagakan penyertaan pertandingan, kejohanan ini adalah kejohanan skuasy pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac. Kami amat bangga dan menjangkakan satu kejohanan yang sengit sekali.

"Bagaimanapun, disebabkan kenaikan kes Covid-19, saya telah meminta jawatankuasa penganjur untuk mematuhi kesemua prosedur operasi standard (SOP), ambil langkah-langkah tambahan dan tanpa penonton.

Kejohanan ini akan dilangsungkan, kecuali jika PKP dikuatkuasakan semula dan kerajaan arahkan kami untuk menangguhkannya, kami akan patuhinya," katanya pada sidang media hari ini.

Bersempena dengan Hari Skuasy Sedunia pada 10 Oktober, SRAM turut menganjurkan aktiviti-aktiviti dan sesi bergambar bagi memperingati hari yang istimewa itu.

Sementara itu, tumpuan utama kejohanan itu adalah pemenang tiga kali berturut-turut Ivan Yuen dan juga pemain wanita nombor satu Malaysia, Low Wee Wern untuk mempertahankan kejuaraan mereka.

Pengarah Kejurulatihan SRAM Mejar (B) S Maniam berkata, pihaknya juga mahu menilai bagaimana pemain terutamanya pemain elit, kembali beraksi selepas hanya bermain dalam perlawanan latihan sejak memulakan latihan semula, beberapa bulan lepas.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 9:43pm
d