arena

TFC sasar tiga mata

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak mahu pemainnya mengambil mudah pertemuan berdepan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam esok walaupun skuad The Fighters itu tewas besar kepada Perak minggu lalu.

Sebaliknya beliau mengharapkan anak buahnya fokus sepanjang 90 minit dan meningkatkan momentum permainan untuk melakar kemenangan bagi mengintai kedudukan yang lebih baik dalam saingan Liga Super.

Selain itu Nafuzi meletakkan harapan yang tinggi anak buahnya tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol bagi mengelak pasukannya berputih mata.

"Kekalahan besar pasukan Felda kepada Perak minggu lalu bukannya sesuatu yang mudah buat pasukan kami untuk menumpaskan pasukan itu.

"Bagi saya lain pasukan lain kekuatannya, semuanya berbeza, sebagai contoh sebelum ini kita pernah menumpaskan Sabah dengan jumlah jaringan besar dan Felda tewas dengan jumlah jaringan besar bukan memastikan kita akan menang.

"Begitu juga ketika bertemu pasukan UiTM sebelum ini, mungkin pandangan Terengganu akan menang dengan mudah, tapi akhirnya kita tewas 2-1.

"Oleh sebab itu saya kerap kali nasihatkan pemain perlu berwaspada dan tidak mengambil mudah dengan semua pasukan kerana mereka mempunyai kekuatan masing-masing.

"Justeru pemain harus memanfaatkan peluang yang diperoleh dengan jaringan sebagaimana ketika bertemu PDRM minggu lalu bagi memastikan impian untuk mengutip tiga mata tercapai, siapa yang jaringkan gol itu tidak penting yang penting pasukan mampu meraih kemenangan," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 9:53pm
d