arena

Dollah mahu Tok Gajah kekal rentak

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Semangat juang dan kerjasama mantap yang dipersembahkan Pahang ketika menewaskan Kedah 2-1 minggu lalu, diharap diulangi sekali lagi apabila berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Itu yang diharapkan oleh pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh kepada anak buahnya supaya mengekalkan prestasi konsisten bagi menafikan Perak membawa pulang mata.

"Saya cuma harap semua pemain dapat beraksi seperti mereka menewaskan Kedah minggu lalu, walaupun ketinggalan pada satu ketika, mereka bangkit dengan cemerlang dan mengutip tiga mata.

"Pada masa sama, kita berjaya tewaskan Kedah yang berada pada kedudukan lebih baik berbanding Pahang dan berdepan Perak esok, saya harap pencapaian sama dapat dilakukan pemain.

"Tiada yang mustahil untuk mencapai misi itu jika segalanya mengikut perancangan," katanya.

Ditanya prestasi semua pemain, Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan gembira kerana masalah kecederaan tidak lagi membelenggu skuad itu.

Justeru, beliau mengharapkan hasratnya untuk menyenaraikan kesebelasan utama apabila berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu tercapai.

"Setakat ini, semua pemain berada pada prestasi terbaik dan kemungkinan Dickson Nwakaeme yang juga kapten pasukan akan kembali mengetuai jentera serangan.

"Begitu juga Ivan Carlos yang dijangka bergandingan dengan Nwakaeme bagi membolosi gawang Perak," katanya.

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 10:01pm
d