arena

Perak II, KL sekadar seri

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Perak II mengikat Kuala Lumpur apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah cuba mencari gol melalui hantaran S Pavithran namun gagal disudahkan N Thanabalan pada minit ke-8.

Pelawat kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff cuba mengasak benteng Perak II melalui rembatan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-26 namun tersasar melepasi gawang tuan rumah.

Kedua-dua pasukan terus tampil ligat mengasak benteng pertahanan lawan masing-masing melalui beberapa percubaan namun gagal menemui penyudah.

Babak kedua bersambung, percubaan Indra Putra mencari gol buat skuad Warga Kota gagal apabila sepakannya tersasar ke kanan gawang Perak II pada minit ke-48.

Skuad kendalian Abu Bakar Fadzim berpeluang mencetak jaringan pada minit ke-54 namun tandukan Khairul Asyraf Sahizah selepas menerima hantaran Muhammad Izzat Mohd Ramlee, tersasar melepasi gawang pasukan pelawat.

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan perlawanan Liga Perdana :

Sarawak United 0 Terengganu FC II 1

Pulau Pinang 4 Kelantan United 0

Selangor II 2 UKM FC 1

Perak II 0 Kuala Lumpur 0

Disiarkan pada: October 2, 2020 @ 11:34pm
d