arena

Nadal garang benam lawan

Oleh AFP

Paris: Rafael Nadal memberi amaran kepada pencabarnya apabila mara ke saingan peringkat 16 terakhir Terbuka Perancis dengan bergaya selepas menewaskan pemain nombor 74 dunia dari Itali, Stefano Travaglia 6-1, 6-4, 6-0 dalam masa 95 minit.

Juara Roland Garros 12 kali yang makin menghampiri rekod 20 gelaran utama milik Roger Federer meraih kemenangan ke-96 dalam kejohanan itu.

"Saya rasa ini aksi terbaik saya tahun ini di Roland Garros," kata Nadal.

Nadal akan berdepan pemain ranking ke-213 dari Amerika Syarikat, Sebastian Korda anak kepada juara Terbuka Australia 1998 dan naib juara Terbuka Perancis 1992, Petr Korda untuk slot suku akhir.

"Dia idola terbesar saya. Dia salah seorang punca saya bermain tenis,'' kata Korda.

"Kucing saya bernama Rafa sempena namanya. Ini menunjukkan betapa saya menghormatinya.''

Korda yang berusia 20 tahun menewaskan Pedro Martinez dengan straight set untuk muncul pemain lelaki pertama di luar ranking 200 mara ke kelompok 16 terakhir selepas pemain Perancis, Arnaud di Pasquale pada 2002.

Hugo Gaston, juga 20, turut mencipta kejutan apabila pemain nombor 239 dunia itu menewaskan juara 2015, Stan Wawrinka 2-6, 6-3, 6-3, 4-6, 6-0 dalam aksi yang terjejas akibat hujan.

Gaston akan menentang juara Terbuka AS yang juga pilihan ketiga dari Austria, Dominic Thiem. Thiem muncul naib juara dua kali di Paris dengan kedua-duanya kepada Nadal sejak dua tahun lalu.

"Ia mengagumkan bagi saya, ia seperti mimpi. Tetapi saya cuba kekal fokus,'' kata Gaston, pemain tunggal dari Perancis yang mengibarkan cabaran.

"Saya berasa penat dengan adrenalin yang terkejar-kejar tapi masih ada sedikit tenaga.

"Saya tak akan memberi tekanan kepada diri sendiri dan saya akan beraksi dengan rilaks seperti hari ini,'' katanya.

Pada usia 19 tahun, pemain remaja Itali, Jannik Sinner adalah pemain termuda mara pusingan keempat di Roland Garros sejak Novak Djokovic melakukannya pada 2006.

Juara Next Gen tahun lalu mara selepas menewaskan Federico Coria 6-3, 7-5, 7-5 dan akan menentang naib juara Terbuka AS, Alexander Zverev yang mengatasi cabaran Marco Cecchinato.

Sementara itu, pilihan utama wanita yang juga juara 2018 Simona Halep mudah menewaskan pemain remaja AS, Amanda Anisimova 6-0, 6-1 dalam masa hanya 54 minit.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 11:29am
d