arena

Para Olahraga tagih pengalaman Hamberi Mahat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Para Olahraga Malaysia, Datuk R Subramaniam berkata, beliau kini sudah membentangkan perancangan masa depan termasuk membawa masuk bekas pelari pecut negara, Hamberi Mahat untuk menjadi penolong kepada jurulatih R Jeganathan.

Subramaniam berkata, kehadiran Hamberi yang mungkin akan memberi fokus kepada sukan pecut itu diharapkan dapat membantu untuk melayakkan lebih ramai atlet olahraga ke temasya Olimpik nanti.

"Ketika ini empat atlet sudahpun layak secara merit yang mana dua dari empat atlet ini adalah bakat baru dan saya menyasarkan sekurang-kurang lima atau enam lagi atlet untuk layak.

"Bagaimanapun keputusan untuk pengambilan jurulatih semuanya terletak kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kontrak semua jurulatih akan tamat 31 Disember ini ," katanya.

Setakat ini, empat atlet para iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh F20) dan Jonathan Wong Kar Gee (lompat jauh T12) - sudah layak ke Paralimpik Tokyo selepas memenangi pingat pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.

Disiarkan pada: October 3, 2020 @ 6:19pm
d