arena

United sedia dapatkan Cavani

Oleh Agensi

Manchester: Manchester United bersetuju untuk membayar penyerang veteran Uruguay, Edinson Cavani £20 juta (RM107 juta) bagi membawanya ke Old Trafford.

United memulakan perbincangan dengan bekas penyerang Paris St Germain (PSG) dan Napoli berusia 33 tahun itu seminggu selepas memutuskan permintaan Borussia Dortmund untuk Jadon Sancho terlalu tinggi.

Sumber di United mengesahkan perbincangan berjalan dengan lancar dan Cavani sekarang dijangka menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pendapatan £200,000 (RM1.07 juta) seminggu.

Cavani tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan PSG pada hujung musim lalu.

Dia memenangi enam kejuaraan liga di Perancis dalam tempoh tujuh tahun di Paris dan mampu berkongsi pengalaman kepada skuad muda Ole Gunnar Solskjaer.

Tindakan United untuk membawa Cavani berlaku selepas kelab berkenaan dilihat terdesak bagi meningkatkan kualiti pasukan.

Kini Cavani hanya perlu melepasi pemeriksaan kesihatan bagi memastikan perpindahan ke Old Trafford disempurnakan.

Cavani menyertai PSG dari Napoli tujuh tahun lalu dan 200 gol disumbangkannya menjadikan dia penjaring terbanyak kelab Perancis itu.

Atletico Madrid, Benfica dan Inter Miami turut berminat mendapatkan khidmat Cavani tetapi tidak mampu membayar gaji ditetapkan pemain itu.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 9:39am
d