arena

Dollah kecewa aksi pemain gantian

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan Dollah Salleh selepas Pahang terikat 3-3 ketika berdepan Perak di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Pengendali Tok Gajah itu berkata, kekecewaan itu selepas skuad itu selesa mendahului Perak 3-0 sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan 3-3.

"Bagi saya, punca keputusan seri lebih kepada kegagalan lima pemain gantian mengikut rentak permainan hingga Perak menjaringkan tiga gol.

"Kita bermain baik pada separuh masa pertama tetapi sebaik babak kedua, permainan menjadi kucar-kacir hingga membenarkan lawan mendapat jaringan.

"Tapi saya terima hakikat bahawa dalam bola sepakan segala-galanya boleh berlaku dan akur sekadar mengutip satu mata," katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang bermula cemerlang apabila selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama sebelum lawan bangkit menyamakan kedudukan 3-3.

Aksi babak kedua menyaksikan Dollah melakukan lima pertukaran pemain iaitu Dickson Nwakaeme, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, Bunyamin Umar, S Kumaahran dan Muhd Nur Izzat Che Awang dimasukkan.

Mereka menggantikan Ivan Carlos, Mohd Faisal Abdul Halim, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, Ashar Al Aafiz Abdullah dan R Dinesh.

Namun, kegagalan lima pemain itu dalam mengimbangi perlawanan menyebabkan Perak mengambil peluang dan pulang dengan satu mata.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 11:27am
d