arena

Durakovic tabik pemain

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Perak, Mehmet Durakovic memuji semangat juang tinggi yang dipersembahkan pemainnya selepas bangkit mengikat Pahang 3-3 pada saingan Liga Super, malam tadi.

Beliau berkata, kebangkitan itu membuktikan anak buahnya memiliki motivasi tinggi dan tidak mudah menyerah kalah walaupun pada satu ketika ketinggalan 0-3.

"Saya puji komitmen semua pemain. Inilah pemain yang saya ada kerana mereka memberikan 100 peratus terhadap pasukan dan berjaya untuk memastikan Perak tidak tewas.

"Pada masa sama, saya katakan kepada pemain misi pasukan untuk menamatkan kedudukan kedua Liga Super dan layak bersaing ke Piala AFC dan mereka bangkit dengan prestasi terbaik.

"Saya gembira dengan semangat pemain yang berjaya mempamerkan kebangkitan pada babak kedua yang jelas berbeza daripada segi permainan ketika ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol Perak, masing-masing dua dijaringkan J Partiban pada minit ke-47 dan 90 manakala satu lagi gol dijaringkan Shahrel Fikri Md Fauzi (m-84).

Tiga gol Pahang pula, masing-masing satu dijaringkan R Dinesh pada minit kelapan, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (m-26) dan Ivan Carlos (m-41).

Mengulas jaringan yang dilakukan Partiban dan Shahrel Fikri, Durakovic gembira dengan prestasi kedua-dua pemain itu yang memastikan Perak sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Namun, katanya, komitmen semua pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai membantu skuad itu menafikan Pahang daripada mengutip tiga mata.

"Biarpun ketinggalan 0-3, saya sememangnya percaya pemain mampu bangkit dan semangat juang mereka memastikan Perak dapat mengikat Pahang," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 12:36pm
d