arena

Monumen abadikan jasa 'Sidek Brothers' [METROTV]

Oleh Aida Adilah Mat

Banting: Impak keluarga Sidek dalam sukan badminton tidak perlu lagi diperkatakan dan menjadi mercu tanda kejayaan sukan itu hingga kini.

Khidmat 'Sidek Brothers' masih lagi dituntut untuk memastikan pemain muda negara dapat mengulangi kejayaan menjulang Piala Thomas yang pernah dilakukan oleh keluarga Sidek pada 1992.

Abang sulung Sidek Brothers, Datuk Misbun Sidek mengucapkan terima kasih kepada Kelab Cintai Sukan dan Rekreasi Selangor menerusi pengarah projek, Saidul Marjuni yang tampil dengan idea untuk membaik pulih monumen badminton keluarga Datuk Sidek yang bertempat di kediaman keluarga itu di Kanchong Darat, Banting Selangor.

Monumen badminton keluarga Sidek itu akan menjadi daya tarikan di Selangor khususnya buat pelancong tempatan mahupun asing yang mana mereka boleh bergambar tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Bagi Mibsun yang kini menjadi Pengarah Teknikal Skuad Remaja Negara, monumen itu meninggalkan kenangan kejayaan mereka adik-beradik dalam kancah badminton dunia.

"Monumen ini membuatkan saya sebak apabila mengingatkan kembali apa yang arwah (Datuk Sidek Abdullah Kamar) bagi kepada kami satu masa dulu.

"Ini adalah satu kenangan sebagaimana ketika waktu kecil kami tak tahu apa-apa tapi dia (arwah) sudah pandang jauh dengan pandangan jauh itu dia salurkan kepada kami hinggalah kami menang Piala Thomas, Seluruh England dan Olimpik.

"Kejayaan itu adalah daripada kasih sayang, tunjuk ajar dan semangat yang ada daripada dia yang saya dapat," katanya.

Monumen itu dibina pada 1992 oleh Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib 28 tahun lalu ketika skuad negara berjaya merampas kembali piala keramat, Piala Thomas sebelum kerja baik pulih dilakukan pada Ogos yang turut dibantu oleh sukarelawan komuniti setempat bagi menyemarakkan semangat Piala Thomas.

Ia adalah sebagai hadiah dan peringatan serta penghargaan kepada sumbangan keluarga Sidek yang berjuang dalam sukan badminton demi negara.

Misbun berharap dengan adanya tugu peringatan itu orang ramai akan sentiasa mengingati sukan badminton dan legasi keluarga Sidek yang hingga sekarang masih masih menabur bakti dalam dunia badminton.

"Pemulihan monumen ini sebenarnya adalah untuk mengingatkan kembali nostalgia 28 tahun lalu supaya mereka tahu sejarah kemenangan kita di Piala Thomas itu harus diulang kembali.

"Dengan adanya monumen ini orang akan sentiasa ingat kepada sukan badminton dan juga kepada kami adik beradik yang hingga kini masih berkecimpung dalam badminton," katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian monumen badminton keluarga Sidek itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib; Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 5:50pm
d