arena

Mahu lebur rekod Harimau Kumbang

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bukan hanya mahu lebur rekod tanpa kalah juara Liga Perdana musim ini, Pulau Pinang, malah Terengganu FC II (TFC II) berhajat mahu mengutip tiga mata untuk mengintai kedudukan kedua liga.

Selain itu skuad yang terkenal dengan julukan The Turtles itu mahu pastikan pasukannya mampu mengekalkan momentum kemenangan apatah lagi beraksi di laman sendiri bertemu skuad Harimau Kumbang itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Jurulatihnya, Roshadi Wahab berkata, anak buahnya tidak gerun walaupun skuad Pulau Pinang hadir dengan reputasi sebagai juara liga selain rekod tanpa kalah dalam semua 10 perlawanan.

"Kemenangan 1-0 ke atas pasukan Sarawak United Jumaat lalu menyuntik semangat baharu kepada pemain untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut bagi memastikan misi untuk berada di kedudukan kedua liga tercapai.

"Atas kertas memang laluan sukar dan cabaran besar buat pemain kami lebih-lebih lagi dengan ketiadaan pertahanan import tinggi lampai, Argzim Redzovic yang akan membantu pasukan Terengganu FC (TFC).

"Begitu juga dengan ketiadaan kapten yang juga penyerang, Bruno Suzuki yang mengalami kecederaan hamstring ketika bertembung dengan penjaga gol Kelantan United dua minggu lalu.

"Tapi itu bukan alasan, jika dilihat aksi pemain ketika bertemu Sarawak United walaupun dua pemain itu tidak beraksi, namun pemain lain yang diturunkan berjaya memperagakan aksi terbaiknya sehingga kita berjaya membawa pulang tiga mata.

"Bagaimanapun saya ingatkan pemain usah sesekali mendabik dada, sebaliknya mereka perlu fokus hingga minit terakhir perlawanan, lagipun itu adalah perlawanan terakhir musim ini selepas Piala Cabaran dibatalkan," kata bekas pemain pertahanan Terengganu itu.

Berdasarkan rekod TFC II kini menghuni di tangga ketiga liga dengan mengutip 19 mata di belakang Kuala Lumpur dengan 21 mata dan Pulau Pinang 26 mata.

Disiarkan pada: October 4, 2020 @ 9:55pm
d