arena

Sangat menyedihkan - Neville

Oleh AFP

Manchester: Kedua-dua bekas pemain Manchester United, Gary Neville dan Patrice Evra berang dengan kekalahan memalukan 1-6 ketika berdepan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

"Saya macam tidak percaya melihat di mana kita berada sekarang. Tidak ada alasan buat semua pemain di atas padang kerana mereka sangat menyedihkan. Mereka tidak mampu bangkit pada separuh masa kedua," kata Neville kepada Sky Sports.

"Pastikan anda sedar bahawa anda sudah memalukan pasukan. Lihat di cermin dan secara jujurnya berkata, anda sangat memalukan," kata Evra.

Pemain United, Luke Shaw juga memberi penilaian yang memalukan, sebagai pertahanan dia mengakui pasukannya seakan sudah menyerah kalah.

United menanggung kekalahan besar di Old Trafford sejak 2011 dan Shaw tidak ragu-ragu untuk bertanggungjawab di atas kejadian paling kejam itu.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer mendahului melalui sepakan penalti Bruno Fernandes pada minit kedua namun tetap dilihat memberikan permainan berterabur sebelum mencatatkan keputusan paling memalukan dalam sejarah kelab berkenaan.

Penyerang United, Anthony Martial diperintah keluar padang ketika Tottenham mendahului 2-1 namun Shaw merasakan ia bukan alasan mereka harus menyerah kalah dengan sangat teruk.

"Manchester United tidak boleh kalah seperti ini. Ia sangat menyakitkan, memalukan dan kami membuatkan ramai orang kecewa. Kami juga membenarkan diri kami dan staf berasa kecewa," kata Shaw.

Buat kali pertama sejak 1986, United tewas dalam dua perlawanan pembukaan di gelanggang sendiri.

Ini juga buat kali ketiga dalam era EPL mereka melepaskan enam gol.

Menambah lagi kepedihan di atas luka berkenaan ialah mereka kalah di tangan bekas jurulatih, Jose Mourinho, yang dipecat pada 2018.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 8:25am
d