arena

Tiada lagi Felda United musim 2021

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Saingan Liga Malaysia (Liga M) akan menutup tirai hujung minggu ini namun Felda United FC membuat kejutan untuk menarik diri daripada kancah bola sepak tempatan bermula tahun depan sekali gus mengejutkan peminat sukan nombor satu tanah air itu.

Perkara terbabit diumumkan FELDA menerusi kenyataan media yang turut memaklumkan bahawa pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan Kelab Bola Sepak Felda United (FUFC) dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd bermula 1 September lalu seperti dipersetujui menerusi Mesyuarat Lembaga FELDA.

Menerusi kenyataan itu, FELDA juga memaklumkan bahawa penglibatan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja.

"Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super Malaysia dan Liga Premier Malaysia.

"Seramai 16 kakitangan FUFC akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat-syarat pelantikan yang dipersetujui oleh pengurusan.

"Notis makluman serahan tugas diberikan pada 17 September lalu kepada kakitangan terbabit," katanya, di sini.

Sementara itu, FELDA turut menjelaskan mengenai beberapa laporan media berkaitan kejadian pecah masuk ke premis pejabat FUFC.

"Berikutan itu, FELDA sudah membuat satu laporan polis bagi melindungi kepentingannya dan FELDA tidak akan memberikan respons awam berkenaan isu ini bagi tidak mengganggu siasatan polis dan juga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FUFC.

"Susulan pengambilalihan ini, Akademi Bola Sepak FELDA yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi itu adalah platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu FELDA," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2020 @ 6:28pm
d